Labels

Saturday, January 25, 2014

Phablet pertama keluaran Nokia

LUMIA 1520 merupakan peranti sempurna untuk golongan profesional yang inginkan telefon dan tablet berteknologi terkini. ________________________________________ SYARIKAT pengeluar peranti telekomunikasi terkemuka dunia, Nokia Corporation (Nokia) optimis dengan pengenalan peranti pintar terbaharu, Lumia 1520 yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar siri peranti Lumia. Susulan itu, pada Selasa minggu lalu, Nokia Malaysia secara rasminya telah melancarkan peranti pintar phablet iaitu kombinasi tablet dan telefon pintar pertama yang berasaskan Windows Phone 8. Menurut Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan, produk terbaharu oleh Nokia itu dilihat sebagai rangkaian terbaik dalam siri Lumia dengan teknologi imej yang dipertingkatkan dan skrin yang lebih besar. "Ia juga terbukti sebagai satu peranti sempurna untuk golongan professional kerana mempunyai skrin hadapan besar yang membolehkan mereka merasai kecanggihan paparan yang terang dan jelas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 800 dan skrin bersaiz 15 sentimeter, Lumia 1520 turut menyediakan kamera belakang yang menawarkan teknologi PureView 20 megapiksel dengan segala proses disokong oleh kad SD mikro. Selain menghasilkan imej yang lebih jelas, teknologi PureView membantu pengguna merakam, menyunting dan berkongsi gambar serta video berkualiti tinggi. "Satu lagi tarikan Nokia ialah apabila ia berjaya membawa beberapa aplikasi popular seperti Instagram, Whatsapp dan Vine ke platform Windows Phone 8. Ini seterusnya menawarkan kepelbagaian kepada pengguna setia Lumia," kata Chan. Syarikat itu turut berkongsi aplikasi Papyrus pada platform Windows Phone 8 yang membolehkan pengguna Lumia 1520 mengambil nota tulisan tangan dengan pantas. Orang ramai boleh mendapatkan peranti itu bermula awal bulan ini di sekitar Lembah Klang, manakala di kawasan-kawasan lain di Malaysia dijangka pada pertengahan Disember ini. Walaubagaimanapun, pihak Nokia Malaysia telah membuka tempahan peranti berkenaan sejak Selasa lalu dengan menawarkan rebat bernilai RM160 dan set kepala Coloud Boom pada harga RM129 seunit. Phablet Lumia 1520 Nokia ditawarkan pada harga RM2,159 seunit dan didatangkan dalam empat warna pilihan iaitu kuning, merah, putih dan hitam.

No comments:

Post a Comment