Sepakat dengan suami perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan
Sesuatu yang perlu anda tahu ialah perkara yang dimarahi suami mestilah sama dengan perkara yang anda marahi. Sekalipun tidak sama, jangan sekali-kali anda membela anak di hadapan suami anda. Hal ini akan menyebabkan anak anda bingung. Sekiranya didapati suami melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, tunggulah pada masa lain untuk berbincang dengannya.
Jangan biar anak rasa terbela ketika membuat kesalahan. Sekiranya anda mengikuti asas ini, maka anda akan mendapati anak tidak akan melawan dan patuh. Saat itu, barulah kita boleh memujuk anak semula dan jelaskan bahawa perkara yang dilakukannya tadi adalah tidak boleh.
Sekiranya boleh, jangan sampai kedua-duanya suka berleter atau kedua-duanya suka marah-marah. Pernah terlihat keluarga yang ayahnya kurang memarahi anak tetapi sekiranya ayah itu meninggikan suara sedikit, anak akan terus ketakutan? Adakalanya juga dengan hanya menyebut nama penuh anak akan menyebabkan anak-anak cukup faham bahawa anda betul-betul sedang marahkan mereka. Justeru, paling penting adalah dengan menyemai rasa hormat anak kepada kita sebagai ibu bapa.
Menerapkan disiplin
Jika diperhatikan, banyak bahagian dalam buku ini adalah secara berjadual. Mengapa teknik ini digunakan? Teknik ini telah banyak menunjukkan testimonial yang sangat berjaya, iaitu di akhirnya, perkara yang terjadual menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Bukankah ini lebih baik daripada hidup tidak berdisiplin?
Anda perlu bersikap tegas terhadap anak-anak anda tetapi janganlah sehingga tiada lemah lembut langsung. Mereka ibarat tanah. Sekiranya tanah itu kasar, siramkanlah dahulu air untuk melembutkannya sedikit sebelum dicangkul. Sejak kecil lagi mereka perlu diberikan pengenalan atas perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mereka.
Hindari memukul anak sekiranya sedang marah
Ketika anda terasa sangat marah, cubalah kawal diri daripada memukul anak. Hal ini akan menyebabkan pukulan anda terlalu kuat dan hal ini akan membekaskan sesuatu dalam jiwa mereka. Kudrat semasa sedang marah sangat kuat dan akan menyebabkan anda akan terasa berkuasa memukul anak anda.
Kadangkala kita mempunyai masalah lain tetapi pada masa yang sama, anak kita melakukan perkara yang tidak kita sukai. Justeru, kemarahan kita tertumpah kepada si anak. Cubalah bertenang dan tarik nafas perlahan. Fikirkan semula adakah berbaloi sekiranya anda memukul anak yang melakukan kesalahan ketika anda sedang marah?
Ugutan dan herdikan
Sekadar mengugut tidak mendidik anak kerana selalunya kita tidak akan melakukan perkara yang kita ugutkan itu. Anak-anak akan menjadi lali kerana ibu bapa hanya tahu mengugut. Kemungkinan anak menjadi kurang rasa hormat kepada kita akibat daripada perbuatan tersebut.
Herdikan juga menimbulkan kesan yang tidak baik. Kebanyakan masa kita mengherdik, kita akan menggunakan ayat yang tidak sepatutnya. Kata-kata kita ialah doa. Bayangkan kita tega untuk mendoakan yang buruk-buruk kepada anak-anak kita dan kemudian memarahinya lagi.
Bayangkan kita menggunakan kata seperti, "Budak bangang!!" Sanggupkah kita mendoakan anak dengan perkataan kesat seperti ini? Sekalipun kesabaran kita memang benar-benar sedang diuji, mengapa tidak kita memilih untuk menggunakan cara yang berhikmah berbanding dengan kaedah seperti ini yang jelas tidak pernah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w?
Kaedah Rasulullah s.a.w dan sahabat mendidik anak
Bak kata pepatah English, ‘Spare the rod, spoil the child’. Menunjukkan tidak lengkap rumah itu tanpa ada rotan di dalamnya. Mari kita perhatikan daripada aspek pendidikan Rasulullah s.a.w terhadap anak-anak kecil.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka sekiranya tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka tempat tidur."
(Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)
Berdasarkan daripada hadis ini, maka kita sepatutnya membiasakan anak-anak dengan amal ibadat wajib sedari kecil lagi. Hal ini adalah wajar bagi menanamkan rasa cinta akan Allah, mensyukuri nikmat-Nya, menyucikan jiwa anak, kesihatan fizikal dan akhlak, iaitu perbuatan dan perkataannya.
Saidina Ali juga berpesan supaya kita mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya:
Pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu.
Hal ini bermakna kita hendaklah bermesra, bermain dan bergurau dengan anak yang berusia di bawah tujuh tahun. Selepas usianya tujuh tahun, kita wajar mendidik dan mendisiplinkan mereka serta diajarkan cara beribadah secara betul. Ketika ini juga hendaklah diajarkan menghormati hak orang lain dan menunaikan suruhan orang yang lebih tua.
Selepas usianya 14 tahun, kita perlu menjadi kawan mereka supaya mereka dapat merujuk masalah dan mengadu kepada kita jika berhadapan dengan masalah. Kebiasaannya pada usia ini, mereka akan mencari kawan lain sekiranya kita tidak menjadi kawan kepada mereka. Sekali mereka mencari kawan di luar, agak susah untuk kita menasihati mereka.
Dalam hadis di atas juga ada menyatakan bahawa jika keadaan memerlukan, kita dibenarkan merotan anak selepas dia berumur 10 tahun. Jadi, setiap kali terlintas untuk merotan, niatkanlah aku tidak akan merotan anak ini sehingga umurnya 10 tahun kerana mengikut perkara yang Rasulullah s.a.w katakan. Maka besarlah pahala kerana perlakuan ini.
Pakar psikologi menyatakan bahawa anak yang berumur 10 tahun ke atas sudah boleh memahami kesan hukuman yang dikenakan dan sebab perbuatan itu tidak dibenarkan. Hal ini bermakna jika kita memukul anak yang lebih kecil dari usia itu adalah hampir tiada gunanya atau akan mendatangkan kesan yang lebih buruk pula. Bukankah itu akan merugikan?
Semasa merotan, beritahu dahulu kesalahan yang telah dilakukan sehingga dia dihukum. Seeloknya, jangan merotan anak di hadapan orang lain. Hal ini akan menyebabkan anak berasa kecewa dan rendah diri. Sebelum merotan juga, pastikan anda pernah memberikan amaran awal bahawa sekiranya sesuatu yang anda suruh tidak dilakukan, kesannya dia akan dirotan.
Anda juga diingatkan agar jangan merotan untuk menyakiti tetapi merotan dengan tujuan memberikan pengajaran. Kawasan yang dirotan juga perlu dijaga dan jangan sewenangnya merotan anak di bahagian muka. Rotanlah di bahagian punggung kerana di situ tidaklah menyakitkan. Satu hayunan sahaja memadai untuk tujuan mendidik.
Walau bagaimanapun, jadikanlah merotan sebagai jalan terakhir. Hai ini kerana kebanyakan sunnah Rasulullah s.a.w adalah untuk mendidik anak-anak dengan kasih sayang bukan dengan pukulan. Cubalah menjadi waras sekalipun kita dalam keadaan marah yang amat sangat. Sekiranya kita telah memberikan pendidikan yang sewajarnya, pastinya rotan tidak diperlukan lagi.
Artikel di atas dipetik daripada Bab 5: Suri Rumah Si Ibu dalam buku Manual Kerja Super Isteri.
No comments:
Post a Comment